Bagang Ikan Bilis Terus Jadi Pilihan Utama


MESKIPUN sudah tiga bulan tidak menangkap ikan berikutan monsun timur laut, namun kesudian Marzuki Mohd. Arit, 39, dan rakan-rakannya menunjukkan penggunaan bagang yang terletak di perairan Laut Celebes memberi pengalaman baharu kepada penulis.

Penulis dibawa menaiki sebuah perahu yang dimiliki seorang tekong untuk melakukan perjalanan kira-kira 16 kilometer dari perkampungan nelayan di Indera Sabah menuju ke sebuah bagang milik salah seorang pengusaha tempatan.

Bayaran dikenakan sebanyak RM15 untuk penghantaran pergi dan balik dari bagang. Begitulah rutin harian nelayan di sini, menggunakan perahu sebagai pengangkutan untuk menangkap ikan bilis di bagang.

Kebiasaannya, mereka akan membawa bekalan makanan, tong gas, generator dan pelbagai keperluan lain namun rutin harian mereka terpaksa dihentikan seketika akibat monsun timur laut.

Di tengah perjalanan penulis dapat melihat beberapa buah bagang yang menjadi peralatan utama bagi nelayan tempatan menangkap ikan bilis.

Menurut Marzuki, selain menggunakan perahu atau kapal untuk menangkap ikan, di Kampung Indera Sabah juga terkenal dengan penangkapan ikan menggunakan bagang.

Terdapat kira-kira 300 buah bagang di perairan tersebut.

“Jika dahulu jumlah bagang lebih banyak berbanding sekarang namun disebabkan faktor tiupan angin dan ombak yang kuat di samping kos pembinaannya yang semakin meningkat dan sumber bahan binaan bagang yang terhad menyebabkan ia semakin berkurangan,” katanya.

Berbicara mengenai rutin nelayan di sini sekiranya keadaan cuaca dan laut mengizinkan, menurut Marzuki, nelayan pada kebiasaannya akan turun ke laut dalam pukul empat petang dan kembali ke darat pada pukul enam pagi.

“Memandangkan jumlah nelayan yang bekerja di sebuah bagang akan mempengaruhi jumlah hasil yang diperolehi, jadi setiap bagang hanya terdapat seorang nelayan sahaja untuk menurunkan dan menaikkan pukat ketika waktu malam.

“Sekiranya semakin ramai yang bekerja di dalam satu bagang, maka hasilnya akan menjadi sedikit berbanding bekerja secara bersendirian kerana nelayan dibayar upah berdasarkan jumlah tangkapan oleh pengusaha bagang. Justeru, kebanyakan satu bagang hanya ada satu nelayan,” ujarnya yang memperolehi pendapatan daripada RM500 hingga RM2,000 sebulan.

Menurutnya lagi, kerja-kerja menurunkan dan menaikkan pukat biasanya dilakukan sebanyak tiga atau empat kali setiap kali tangkapan dilakukan.

“Memandangkan bekerja secara bersendirian, jadi nelayan terpaksa bekerja keras mengangkat pukat yang bersaiz lebar dan ada kalanya berjaga bagi melakukan kerja-kerja penangkapan ikan.

“Hasil tangkapan ikan bilis dalam sehari boleh mencecah 50 kilogram bagi seorang nelayan dan paling kurang 20 kilogram,” katanya.

Dalam pada itu, seperti pekerjaan lain, nelayan juga sering berdepan dengan pelbagai cabaran dan risiko yang tersendiri.

Selain terpaksa melalui suasana ketidaktentuan cuaca, angin dan keadaan laut, para nelayan juga berdepan dengan risiko menjadi mangsa rompakan atau serangan lanun memandangkan kedudukannya tidak berubah.

“Pernah berlaku kejadian rakan kami dirompak oleh sekumpulan lanun, namun mujur mereka tidak dicederakan memandangkan lanun berkenaan hanya menyasarkan barang-barang yang boleh dijual termasuk telefon bimbit milik mangsa,” katanya.

Malah ada juga bagang yang pernah tumbang akibat dilanggar bot-bot nelayan yang tidak bertanggungjawab.

Oleh sebab itu, bekerja sebagai nelayan juga memerlukan kekuatan dan keberanian yang tinggi kerana bila-bila masa sahaja mereka akan diduga dengan pelbagai masalah.

“Tidak seperti sesetengah nelayan yang bekerja di dalam satu kumpulan sama ada kecil mahupun besar, nelayan di sini bekerja secara bersendirian ketika menangkap ikan di bagang.

“Sebab itu, mereka dilihat lebih berisiko diserang lanun berbanding nelayan di atas perahu atau kapal,” katanya.

Sumber:Utusan Online